Tahniah! Datuk Jalaluddin Hassan Kini Telah Berpunya


Tahniah! Datuk Jalaluddin Hassan Kini Telah Berpunya

Kami difahamkan bahawa Datuk Jalaluddin Hassan, telah sah bergelar suami kepada Rapidah Abd Ghani, dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan di Masjid Bandar Tun Hussein Onn, di sini, kira-kira jam 10.55 pagi tadi.

Datuk Jalaluddin Hassan dinikahkan oleh abang kepada Rapidah yang juga penggiat teater, iaitu Lokman Abd Ghani di hadapan Penolong Pendaftar Nikah dan Imam Masjid Bandar Tun Hussein Onn, Mohd Faisal Mohd Noor, dengan mas kahwin RM300. Majlis turut disaksikan bapa Jalaluddin, Tan Sri Hassan Azhari.

Bagaimana mereka berkenalan? Kami dimaklumkan perkenalan selama empat bulan menerusi laman sosial Facebook menyatukan pasangan yang tampil dengan persalinan rona putih itu.

Rapidah yang juga ibu tunggal, turut menerima lima dulang hantaran termasuk sebuah kerusi urut berharga RM20,000 dan dibalas tujuh dulang hantaran. Majlis yang dihadiri kira-kira 100 tetamu merangkumi ahli keluarga kedua-dua belah pihak dan sahabat handai, turut dihadiri rakan artis, Ashraf Muslim, Arash Mohamad dan Den Wahab.

Pasangan mempelai kemudian diraikan pada majlis ringkas di perkarangan masjid. Jalaluddin dan Rapidah mengambil peluang bertemu ahli keluarga dan jemputan yang mengucapkan tahniah kepada mereka. Jalaluddin menduda selama setahun susulan kematian isteri tercinta, Datin Hashimah Aksan, pada 5 November tahun lalu selepas mendirikan rumah tangga selama 40 tahun.

Kami mengucapkan tahniah dan semoga pasangan Datuk Jalaluddin dan Datin Rapinah berkekalan hingga akhir hayat. Amin.

You May Also Like

0 Comments